Sunday, November 16, 2008

Mencari Pasangan Hidup

Baik secara diam-diam atau terang-terangan, golongan belia yang sebaya dengan saya pastinya sudah mula berfikir dengan mendalam tentang tajuk di atas (malah, ada yang telah menjumpai pasangan hidup masing-masing pun). Menurut konteks hari ini, saya percaya adik-adik di sekolah menengah pun sudah mula memikirkannya. Apa tidaknya, deras arus maklumat dan kemajuan teknologi digital pada hari ini telah berjaya merobohkan tembok sempadan umur dan kematangan fikiran, maka ramailah yang sudah merasai cinta ataupun bahangnya walaupun usianya baru menjangkau usia pertengahan belasan tahun. Untuk kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca satu sesi forum bersama Dr. Fadzillah Kamsah, Dr. Mashitah Ibrahim, dan Aziz Desa (sebagai Pengerusi majlis) yang menyentuh tentang topik ini. Saudara/i boleh menonton forum tersebut pada capaian di YouTube di bawah:

Forum Petua Mendapat Pasangan 1/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 2/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 3/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 4/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 5/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 6/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 7/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 8/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 9/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 10/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 11/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 12/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 13/14
Forum Petua Mendapat Pasangan 14/14

Rata-rata, banyak juga input menarik yang boleh didapati daripada forum tersebut. Ada pula idea-idea yang dilontarkan tidak ubah seperti apa yang terkarang di dalam karya-karya Barat seperti Men are from Mars, Women are from Venus oleh John Gray. Kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa untuk mendapat pasangan hidup yang baik (baca: BAIK, tidak semestinya IDEAL) supaya seseorang itu boleh mengecapi nikmat cinta sejati, tunjang kepada segala nikmat dan perbuatan tersebut mestilah berlandaskan kepada Islam dan prinsip-prinsipnya. Bagi saya, kedua-dua ahli panel telah menghuraikan dengan jelas bagaimana etika-etika pergaulan di dalam Islam (seperti menjaga tutur kata, pandangan mata dsb.) dan yang lebih penting prinsip ketauhidan kepada Allah itu boleh menarik pasangan yang matlamat akhir hidupnya secocok dengan matlamat akhir hidup kita - yakni ingin mencari keredhaan Ilahi.

Kedua, untuk mencari pasangan hidup, perlulah ada komunikasi yang berkesan. Berkesan yang dimaksudkan adalah memahami dari sudut mana lelaki "menggunakan bahasa" yang sememangnya berbeza daripada golongan Hawa "memahaminya". Begitu juga dari sudut bahasa badan - terdapat seribu satu macam rahsia Adam dan Hawa menuturkan dirinya walaupun tanpa menggunakan sepatah perkataan pun. Pemahaman kepada yang bahasa-bahasa halus inilah yang memainkan peranan yang agak besar di dalam menentukan efektifnya atau tidak sesuatu komunikasi. Dan juga, ahli panel ada menyatakan keberanian untuk berkomunikasi itu penting. Ha... nampak gaya prinsip perigi mencari timba, dan lelaki pemalu sememangnya konsep yang dicabar menurut pemikiran ini.

Seterusnya adalah doa. Ini termasuklah doa-doa khusus yang dianjurkan oleh ahli-ahli panel (nak tahu, tontonlah video itu sendiri! :P). Dan juga kata-kata yang diungkap serta bisikan-bisikan hati boleh membawa kepada sampainya mesej cinta walaupun tidak diluahkan secara terbuka. (Ketawa saya apabila mendengar jenaka Aziz Deza yang mengatakan, "kalau begitu marilah kita pakat-pakat tepuk bantal malam ni sebut nama si dia [dan mengharap si dia akan mimpi sama-sama dengan kita!]). Ini berdasarkan kepada teori yang mengatakan bahawa wujudnya gelombang-gelombang otak yang membolehkan seseorang itu berfikir satu frekuensi dengan seseorang yang lain. (Hmm... macam telepatilah pulak...)

Akhir sekali, tidak lupa sepotong ayat al-Quran yang sering kali menjadi quotation apabila terbitnya tajuk-tajuk perbincangan seperti ini yakni Surah An-Nur ayat 26 yang kira-kira bermaksud:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Tapi apa yang menariknya, kedua-dua ahli panel, pada saya, berbeza pendapat tentang bagaimana kita patut melihat ayat ini. Dr. Mashitah lebih membayangkan bahawasanya menjadi lelaki yang baik adalah prerequisite untuk mendapat perempuan yang baik dan sebaliknya. Dr. Fadzillah pula membayangkan bahawa ayat ini lebih merupakan satu peringatan dan nasihat kepada seseorang untuk menjadi seseorang yang lebih baik, bukan jaminan Allah yang semestinya seseorang itu mendapat pasangan yang serupa dengannya, kerana menurut Dr. Fadzillah, ada sahaja perempuan yang baik mendapat lelaki yang jahat.

Walau apa pun, persoalan mencari cinta sejati telah menjadi dugaan, bahagia dan sengsara manusia sejak azali lagi. Cain dan Abel berbunuhan sebab cemburu di dalam cinta. Romeo dan Juliet juga menjadi korban cinta yang tidak kesampaian... dan juga pelbagai tradisi seperti Hikayat Sita dan Rama, Laila dan Majnun, Snow White and the Seven Dwarves, Cinderella, yang semuanya merujuk kepada betapa besarnya pengaruh cinta di dalam kehidupan seseorang yang bernama manusia. Akan tetapi, dalam pada kita mencari cinta manusia, jangan pula kita lupa menjunjung Cinta kepada Pencipta cinta. Saudara Dawud Wharnsby Ali ada mesej yang halus untuk memahami itu!



No comments: