Monday, September 19, 2011

Membaca dan Intrig Elitisnya


Mungkin ada yang mengatakan membaca itu boleh dilakukan oleh sesiapa dan di mana-mana sahaja pada tiap ketika. Benarkah? Menyebut 'membaca amalan mulia' senang sahaja menitip pada arakian kempen dan slogan itu dan ini, walhal impaknya pada benak pemikiran massa tak ubah seperti 'merokok membahayakan kesihatan.' Mengapakah begitu sukar untuk menanam budaya membaca di kalangan massa sedangkan perpustakaan-perpustakaan, kedai-kedai buku, sekolah-sekolah, hatta rumah-rumah ibadat dan tempat tinggal persendirian pun sudah hampir pasti ada bahan bacaan yang entah berapa banyaknya? Tiada pula undang-undang yang mengharamkan kegiatan membaca! Malah, ada rebat cukai lagi kepada ulat-ulat buku sebagai ganjaran kerana sanggup mengulati lembaran-lembaran kertas berjam-jam lamanya.

Namun, sangatlah sedikit golongan ulat-ulat buku ini kerana mereka ini golongan elit. Iya, membaca adalah budaya elit! Membaca itu mudah sahaja. Kita membaca setiap hari daripada anda bangun tidur sehinggalah kita tidur kembali. Jika anda sedang menelaah penulisan ini, maka anda sedang membaca. Jika anda sedang 'PM' di Facebook pun anda sedang membaca. Tak kurang juga kita 'melihat' papan-papan tanda di tepi jalan yang bertulis "Kota Samarahan 10" atau "BERHENTI," pun anda sedang membaca! Tapi apa bezanya kita ini dengan sang ulat buku itu? Banyak! Ini cuma sebahagian daripadanya. Pertama, membaca bagi sang ulat buku adalah suatu budaya, bukannya kebiasaan. Budaya bermaksud ia telah menjadi suatu kegiatan dalam sedar yang berulang-ulang sehingga ia menjadi suatu disiplin. Disebabkan kegiatan itu berulang-ulang maka wujudlah corak, cara, gaya dan rentak yang membentuk identiti membaca si ulat buku itu. Hasilnya, ruang minda sang ulat buku pun bertambah yang terkesan pada cara dan tajuk percakapan, penulisan dan tindak-tanduknya.

Tapi untuk orang kebanyakan pula, membaca cuma suatu kebiasaan.Kebiasaan dalam ertikata ini bermaksud perkara yang selalu diulang-ulang sehingga ia menjadi sesuatu yang tidak disedari lagi akan kewujudannya. Begitulah 'membaca' bagi orang ramai: memadailah sekadar tahu membaca (melihat?) 'BERHENTI,' atau 'KUALA LUMPUR 30km,' 'lol,' dan 'i luv u' di paparan papan tanda tampak dan maya. Tiada pula disiplin kerana amalan 'membaca' itu dilakukan di luar sedar lalu corak, gaya, cara dan rentak tidak dapat dirakam oleh benak pemikiran 'yang melihat' itu kerana amalan-amalannya rawak. Hasilnya, tajuk dan cara percakapan, penulisan dan tindak-tanduknya pun terkesan, cuma ruang minda yang melihat itu tidak pula bertambah, malah ada yang merosot.

Pun begitu, itu hanya sebahagian daripada kisahnya. Wah, senang benar melabel orang itu 'ulat buku, sebab itu dia pandai' dan orang itu 'bukan ulat buku, sebab itu dia bodoh' tanpa menyelidik terlebih dahulu norma-norma di sekelilingnya. Di tempat kita, bahan-bahan bacaan berkualiti amatlah mahal harganya. Jika tiada Lima Puluh Ringgit di dalam dompet (atau di dalam akaun bank jika ada pengguna kad debit; jika anda pengguna kad kredit, anda memang orang elit!), kus semangat, lupakan sahaja niat untuk memiliki naskah yang terpampang pada rak buku itu! Benar ada bahan bacaan yang murah dan berkualiti. Pergilah ke rak buku bahagian 'Classics,' 'Local Interests,' 'Agama,' atau 'Value Buy,' nescaya anda akan terjumpa bahan bacaan itu. Tapi jangan harap (atau mengharaplah) anda terjumpa yang lebih daripada itu tanpa wang Ringgit di tangan.

Ini adalah satu kecondongan dalam amalan membaca. Benar ada yang sangat ingin membaca lebih atau belajar membaca tetapi tidak punya kemampuan ekonomi untuk berbuat demikian. Makanan-makanan minda yang berkhasiat di pasaraya-pasaraya yang biasa menempatkan gedung-gedung buku selalunya diimpot. Bahan-bahan impot pula selalunya mahal. Bukan tiada makanan-makanan minda tempatan yang berkhasiat lagi enak dijamah akal, akan tetapi reputasinya sama seperti midin dan laksey: enak dimakan bagi sesiapa yang pernah merasanya, murah juga tetapi tidak ramai pula yang mengetahuinya, apatah lagi membelinya!

Mahal itu satu, tapi yang satu lagi adalah penguasaan bahasa dan teknik membaca membezakan ulat 'enggang' dan ulat 'pipit.' Benar, melihat dari kiri ke kanan sambil menyebut ungkapan dan perkataan yang dibaca itu pun membaca juga, tetapi sangatlah berbeza gaya membaca orang itu dengan mereka yang boleh dengan yakin berinteraksi, mengkritik, membidas, memperkaya, menyokong, dan menilai apa yang dibaca. Untuk membina kemahiran-kemahiran membaca pula bukan usaha sehari-dua; itu kerja bertahun-tahun lamanya. Si pembaca perlu membaca dengan banyak dalam bidang yang meluas, baharulah lenggok-lenggok halus setiap bidang bacaan itu dapat dikuasai satu persatu yang semestinya perlu ditatih dan dilatih.

Latihan ini jauh menjangkau sempadan kata kerja membaca itu sendiri. Ini berkaitan dengan perkembangan minda dan pemikirian yang antaranya terangkum, tapi tidak terhad kepada, ilmu-ilmu retorik, penaakulan, perbahasan, perbincangan, puisi, pengiraan, logik mantik, falsafah, agama dan spiritual, dan yang lain-lainnya yang menerbit rasa minat untuk membaca itu sendiri. Tambah pula membaca mestilah ada tujuan biarpun tujuan itu untuk berhibur sekalipun. Semakin jelas tujuan bacaan itu, semakin tajam pula mata akal melihatnya maka semakin banyaklah makanan minda dapat dituai. Nah, ini bukan kerja orang elit?

Seterusnya, tahap penguasaan bahasa bahan yang hendak dibaca juga sangat penting untuk menghadam bahan bacaan. Yang tinggi tahap penguasaan bahasanya boleh menghadam diksi-diksi yang 'berat' (walhal takrifnya tidaklah sesusah mana pun) kerana kayanya pengetahuan dalam kosa kata, sintaks dan rencana penggunaannya. Yang rendah tahap penguasaan bahasanya pula terpaksalah pula berpuas hati dengan bahan bacaan yang lebih mudah. Ini membuatkan mereka ini takut untuk menyentuh buku yang 'berat' kerana sedar bahawa mereka hanya punya kail sejengkal, tiada layak menduga lautan dalam. Yang hanya mampu menjala jerung di lautan hanyalah mereka yang berpukat berkapal - dalam pengamatan bahasanya lalu luweslah pemahamannya.

Satu lagi kedangkalan persepsi terhadap sang ulat buku 'besar' ini adalah mereka semestinya juga berkaca mata seinci tebal, berseluar dan bertali-pinggang 'tinggi', dan 'skema.' Ini usaha pembodohan massa! Sang ulat buku 'besar' boleh jadi remaja miskin yang tinggal di kabin pedalaman Amerika, pemuzik Rock berambut warna-warni panjang, dan agamawan berjubah serba putih! Iya, rupa mereka sama sahaja dengan golongan-golongannya. Bezanya sang ulat 'besar' ini tahu lebih, terutamanya dalam bidang yang diceburinya, dek usahanya mengulati siratan-siratan ilmu pada naskah-naskah yang diamatinya.

Gerbang ilmu, walaupun luas, ada penjaganya. Tidak semua penjaga itu baik, ada juga yang tidak kurang bodohnya. Ada mereka yang sengaja menjadikan bacaan itu susah dengan segala macam istilah yang memeningkan. Tujuannya menulis bukan untuk mendidik, tetapi untuk mengelirukan, atau menunjuk-nunjuk bahawasanya dialah empunya kunci ilmu itu. Ada juga penjaga yang mencuri hasilan ilmu orang lain. Katanya itu idenya walhal yang penat bersengkang mata menelaah siang malam membuahkan ilmu itu adalah orang lain! Ada juga yang ingin menjadi penjaga ilmu jadi tetapi pemalas. Impiannya mahu menjadi pendita agung tetapi kerjanya potong dan tampal sahaja. Itu pun dikiranya sudah membaca!

Tapi yang paling malang ada yang menyangka ia menjaga, tetapi sebenarnya ia memusnahkan. Dilarangnya orang mengaji buku orang asing kerana mereka bangsa penjajah, kononnya. Dilarangnya pula orang mahu belajar bertutur selain daripada bahasa ibunda, kerana itu tidak patriotik! Yang paling membiulkan ialah dilarangnya orang bertanya kerana mungkin apa yang ditanyakan itu terlalu sukar untuk dijawabnya, lalu dilekehkan pula mereka yang berfikir dek usang tubuhnya kerana terlalu lama menaakul beribu-ribu helaian mukasurat. Berharga sungguh umur yang dihabiskan untuk menggilap permata akal itu, mahal pula akibatnya!

Sungguh hairan, perpustakaan-perpustakaan ada pengunjung, tetapi yang datang sudah ada dengan buku rujukannya sendiri! Datangnya cuma untuk 'menjawab' dan 'memuntahkan' soalan-soalan yang mempunyai jawapan 'pasti!' Banyak khazanah yang bernilai di sebalik rak-rak panjang itu. Tetapi itulah, tidak ramai yang mahu dan mampu menatapnya, dek kerana miskin harta dan/atau miskin ilmu. Apa mudah untuk menjadi kaya? Kempen membaca? Fikir semula, kerana besarlah intrignya dek mendokong bawaan elit persis teori konspirasi, cuma lebih sedikit daripada omongan kosong. Tapi membacalah dan jangan gusar; kebulur akalmu jika tidak dijamu.

No comments: