Saturday, January 8, 2011

Krisis Keyakinan Intelek

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar rungutan daripada banyak pihak: kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik, para cendekiawan, para mahasiswa, pihak media dan rakyat jelata tentang betapa cabaran demi cabaran, daripada berita kenaikan harga minyak sehinggalah kepada isu mazhab yang dilempar di dada-dada akhbar, blog-blog, ceramah-ceramah dan status-status di Facebook yang seperti tiada penyelesaiannya.

Komentar-komentar yang diberi oleh orang-orang tertentu pada isu-isu nasional ini pula tidak jauh lari daripada retorik politik; lebih malang lagi adalah apabila persepsi pembaca terhadap apa yang dibaca dan dihidang di dalam media massa dan media baru semuanya bermotif politik, sehingga ada ada yang mengaku ‘neutral’ dengan harapan mereka sememangnya neutral secara politiknya! Alahai, apakah yang sudah terjadi kepada dunia ilmu dan kesarjanaan kita yang kian kering dan lesu, sehingga tradisi ilmu yang berteras pada kekuatan hujah, daya fikir dan kemampuan menyelesaikan masalah, boleh disamakan dengan pula dengan persepsi politik perdana yang rata-rata berkisar pada engkau kerajaan dan aku pembangkang (atau sebaliknya)?

Perkara ini haruslah dibedah dan diteliti dalam-dalam bagi mencari pokok pangkal penyakitnya. Mungkin saspek utama kepada kemiskinan intelek yang kita hadapi pada hari ini ialah krisis kemelaratan melahirkan ide-ide baru dan segar daripada gedung-gedung ilmu seperti di universiti-universiti, sekolah-sekolah, perpustakaan-perpustakaan, dan tempat seumpamanya. Benarkah gred ‘A’ dan PNGK 4.00 dan segulung ijazah dengan Kepujian kelas sekian-sekian itu benar-benar memberi makna kepada kemampuan intelek seseorang itu yang boleh menjadi kayu ukur kepada nilai sumbangannya terhadap masyarakat, atau sekadar cantik dipandang mata semata-mata tanpa nilai intrinsik yang sebenarnya jauh lebih utama di dalam dunia ilmu dan kesarjanaan?

Adakah kita sedang mengalami kemelesatan peradaban masyarakat di mana antara salah satu tandanya ialah kurangnya minat kita untuk meneroka dan menggali ilmu, akan tetapi suka pula mendengar khabar-khabar angin dan konspirasi itu dan ini, tanpa menaakul dalam-dalam intipati dan asas kepada ilmu-ilmu tersebut yang kita makan dan hadam hari demi hari? Sedang kitab al-Quran menyuruh kita menyelidik berita dan cerita yang sampai kepada kita terlebih dahulu(Qur’an 49:6), namun apakah yang menyebabkan kita suka untuk mempercayai sesuatu kerana ia selalu diuar-uar, tanpa menyelidik punca, dan menganalisa kekuatan hujah dan kebenaran berita dan cerita itu terlebih dahulu?

Jika mahu menuduh, maka antara mangsa-mangsa yang paling senang untuk dituduh adalah seperti berikut: 1) Iblis dan Syaitan, 2) pihak kerajaan, 3) ahli-ahli politik, 4) nasib badan dan takdir, 5) penyanyi dan penghibur, 6) media massa, 7) masalah sosial. Senang bukan untuk menuding jari pada orang, entiti, dan faktor luaran lain yang selalu digenang di dalam kotak pemikiran kita bahawa mereka inilah sebenar-benar masalahnya; tanpa pula mendasari tuduhan-tuduhan tersebut dengan bukti-bukti dan jika disabit benar, menyertakan usaha dan cadangan untuk menjatuhkan hukum dan penyelesaian terhadap pertuduhan tersebut.

Kita selalu disuruh membaca, malah kita sering kali diingat oleh guru-guru agama untuk meneliti surah al-‘Alaq ayat 1-5 dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian. Tetapi pernahkah kita mempersoal kualiti dan kebenaran tentang apa yang kita baca itu? Sedang kita tahu membaca itu kepada gerbang ilmu, kita juga harus tahu membezakan jenis-jenis bahan bacaan yang benar-benar menjana dan mengembangkan daya fikir dengan bahan-bahan picisan dan bahan-bahan pseudo-intelek. Perumpamaannya mudah: sama baikkah air minuman perisa tiruan itu dengan air jus perahan buah asli? Kedua-duanya melunaskan dahaga tetapi berbeza khasiat, malah yang satu memudaratkan dan yang satu lagi menyihatkan.

Demikianlah juga makanan kepada akal. Jika banyak akal ‘memakan’ bahan-bahan yang berkhasiat, maka banyaklah akal-akal yang sasa yang menganggotai bala tentera intelek yang mampu mempertahan serangan-serangan intelek dengan hujah-hujah yang disusun rapi dan kemas; dengan adanya akal-akal yang sasa ini juga boleh melahirkan ide-ide baru yang ampuh lagi segar dalam menyelesaikan isu-isu semasa tanpa asyik bergantung kepada pandangan-pandangan cendekiawan yang telah lama meninggalkan kita, seolah-olah kita tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah hari-hari.

Perlukah suara dan getusan ilmu dirantai dan dibisu kerana takutkan perubahan? Sesungguhnya perubahan itu sentiasa berlaku selama mana jam dan waktu itu berdetik; bezanya adakah kita akan mendokong arus perubahan itu, atau kita terus hanyut dibawa arus, mengangguk sahaja setiap watak yang diberi hatta menjadi seekor lemming pun. Ayuh, bangunlah minda-minda yang lena. Musuh kebodohan sedang mencandu kita: bukan bodoh tidak mengerti membaca, menulis, dan mengira, tetapi bodoh tidak mahu menggunakan akal itu sendiri di dalam melihat, menelaah, mentafsir, menaakul, mencerna, dan merasional tentang hakikat Kebenaran itu sendiri telah menyebabkan hati itu buta melihat ayat-ayat Tuhan sehingga yang bukan Tuhan pun dipertuhankan; mintalah dijauhkan.

1 comment:

dharfizi said...

8) Illuminati & Freemason serta agen-agen dajjal laknatullah!!! (some use the term -"the hidden hand/invisible hand"- without even knowing its real significance and writings of Adam Smoth or even The Wealth of Nations)

Ignorance is bliss anyway, and artificial enlightenment is even better!!!