Wednesday, October 27, 2010

Penjenamaan “Islamik” Malaysia akan Terjejas Sekiranya Industri Pelancongan Berasaskan “Urban Entertainment” Diberi Penekanan

Terdapat ura-ura yang mengatakan akan lebih banyak kelab malam terkemuka serta syarat mengendalikan konsert hiburan antarabangsa yang lebih longgar merupakan sebahagian daripada strategi baru di dalam usaha negara untuk menarik lebih ramai pelancong luar (sila baca habis: http://www.malaysiakini.com/news/146435 “ETP: Lebih banyak kelab malam, spa akan dibina”).

Jika dakwaan-dakwaan tersebut benar, negara akan mengalami implikasi negatif di dalam strategi penjenamaan negara di dalam usahanya untuk menarik pelabur-pelabur dan pelanggan-pelanggan asing dan dalam negara, terutamanya daripada negara-negara Islam dan mereka yang beragama Islam.Di kalangan negara-negara bukan Islam dan mereka yang bukan Islam pula, Malaysia berpotensi dilihat sebagai sebuah ekonomi yang mempunyai "split-personality," yakni ekonomi yang berasaskan nilai moral-agama dan nilai 'sekular' serentak! Malaysia sebelum ini mencanang dirinya sebagai hab perbankan dan kewangan Islam se-dunia yang berasaskan ekonomi Islam serta hab makanan halal se-dunia.

Keadaan ini berpotensi memberikan imej yang mengelirukan terhadap bidang pengkhususan ekonomi negara yang juga melibatkan imej kelebihan kompetitif (competitive advantage) yang dibina negara selama ini. Dari sudut imej, adakah negara sedang beralih daripada penjenamaan “Islamik” kepada penjenamaan “hab hiburan” seranta? Dari sudut pelancongan pula, negara pernah menekankan aspek sosial, budaya, dan keindahan semula-jadi sebagai aset utama menarik pelancong-pelancong luar. Adakah aspek-aspek tersebut akan ditukar ganti dengan konsep"urban entertainment"?

Tambahan pula, kesan-kesan terhadap strategi pembangunan seperti ini perlu dilihat kesannya kepada strata sosial dan nilai moral masyarakat. Bayangkan jenis peluang pekerjaan apakah yang akan dihasilkan hasil daripada pembinaan lebih banyak kelab malam eksklusif dibina. Bagaimanakah dengan terbinanya tempat-tempat tersebut boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap nilai-nilai moral yang selama ini disandarkan kepada kepercayaan agama, terutamanya Islam, dan nilai-nilai keTimuran?

Adakah ini menandakan negara sedang menghadapi suatu kekeliruan ideologi mencorak wacana ekonomi negara? Jika benar pihak berwajib serius mahu terus mempromosi negara sebagai hab “aktiviti ekonomi Islam,” maka pemikir-pemikir di kalangan pihak berwajib ini haruslah mengambil kira sudut pandangan Islam terhadap aktiviti pembangunan ekonomi negara. Mengejar kemajuan ekonomi semestinya penting kepada sesebuah negara, tetapi apalah kemajuan itu jika ia dilihat daripada lensa yang pincang menilai dirinya sendiri?

No comments: