Sunday, February 3, 2008

Respons kepada artikel 'Kemiskinan Daya Imaginasi'

Berikut adalah respons saya kepada artikel 'Kemiskinan Daya Imaginasi'. Anda boleh mengakses artikel asal pada pautan yang berikut:

http://usrah.kakiblog.com/2007/07/18/kemiskinan-daya-imaginasi/#comments


Salam…

Pada hemat saya, inilah punca kepincangan masyarakat hari ini dari sudut menilai nilai ilmu itu sendiri dengan hanya memberi ‘face value’ kepada ilmu itu sendiri seperti kata Prof. saudara, “para ibu bapa pastinya tidak bersetuju jika mereka membelanja puluhan [ribu] dollar untuk pendidikan universiti anak mereka semata-mata untuk menjadi seorang ahli sejarah, ataupun antropologi. Hanya bidang profesional dan sains tabie menjanjikan pulangan setimpal dengan pelaburan wang sebegitu besar.”

Kini, bidang ilmu seolah-olah dinilai dari sudut sejauh mana ilmu itu boleh menyumbang penimba dan pengamalnya kepada alam kebendaan; seolah-olah ilmu itu serupa seperti ‘normal goods’ di pasaran yang bertindak-balas terhadap fungsi penawaran dan permintaan semata-mata; makin besar ‘peluang pekerjaan’ yang dijanjikan oleh bidang-bidang yang berkenaan ilmu itu, maka semakin sibuklah insan mengejarnya.

Apa yang menjadi ukuran? Bukan penguasaan terhadap tunjang kepada ilmu tersebut, tetapi sejauh mana kita mampu ‘menghafal’ dan ‘menuruti’ apa yang sudah termaktub di dalam buku-buku teks. Tidakkah kita bertanya, adakah semua ‘teori’ dan ‘fakta’ yang dilontarkan kepada kita itu betul? Siapakah yang melontarkan fakta-fakta itu, apakah sebabnya? Atau penjelasan alternatif atau kelemahan-kelemahan yang membatasi kesahan (validity) hujah yang dikemukakan? Rentetan daripada itu, ilmu itu akhirnya hilang nilai intrinsiknya - yakni hilang daya untuk membolehkan ia diperkembang dan secara tidak langsung menyekat manusia daripada menghayati nilai-nilai manusiawi yang menyirati ilmu-ilmu tersebut.

Saya tidak bersetuju jika dikatakan di Eropah itu tiada golongan fundamentalis - Zaman Gelap (The Dark Age) penuh dengan golongan-golongan seumpama ini baik dari sudut ketaksuban mereka terhadap pemerintah mahupun institusi agama. Jika kita bercakap di dalam konteks sejarah kontemporari, boleh sahaja kita ambil bahana terbesar ideologi fasisme Hitler sebagai contoh fundamentalis terburuk pada abad lepas.

Bagi saya, golongan fundamentalis ini boleh wujud di mana-mana sama ada ianya berhaluan kiri atau kanan, ultra-konservatif atau liberal, ortodoks mahupun sekular - bergantung kepada norma sesebuah masyarakat itu sendiri.

Pun begitu, apabila kita bercakap tentang pencambahan ilmu, tidaklah patut kita bercakap tentang kategori atau sibuk mengkategorikan lontaran hujah berdasarkan ‘continuum’ kanan atau kiri semata-mata. Apa yang lebih penting adalah kesahan (validity) hujah itu - baik dari segi praktis dan teorinya, boleh dipergunakan sesuai dengan kehendak semasa berdasarkan batas-batas yang ada.

Saya setuju, perdebatan-perdebatan kemasyarakatan dan kemanusiaan kontemporari memang perlu, dengan syarat ahli-ahli debat serta para pendengarnya perlu bersiap siaga dengan i. keupayaan mencerakinkan ilmu (baik dari sudut penguasaan bahasa, induksi logik, dsb.) ii. pengetahuan tentang isu semasa (isu debat), dan iii. keterbukaan minda. Jika tidak, debat itu mungkin sia-sia atau mendatangkan lebih banyak kekeliruan daripada melahirkan idea-idea baru yang bernas.

Oleh itu, cadangan saya ialah setiap unit individu perlu melengkapkan diri dengan rekuisit-rekuisit tersebut terlebih dahulu sebelum bertarung di arena debat. Dan jika debat itu diwujudkan pula, janganlah topiknya bertemakan klise-klise lama dan hujahannya tak ubah daripada menitip idea-idea orang lain semata-mata; hendaklah ada keaslian idea itu sendiri yang lahir daripada penaakulan dan imaginasi yang mendalam.

Mungkin kita (dunia Islam) pada hari ketinggalan sebab kita adalah golongan pengguna (hatta dari sudut idea pun kita mengguna), bukan pengeluar. Persoalannya, mahukah kita membuka minda kepada penjelasan-penjelasan alternatif tentang kemajuan (menurut perspektif Barat?) atau suara-suara selain daripada aliran perdana daripada golongan kita sendiri tentang bagaimanakah caranya kita hendak maju tanpa mengetepikan agama?

Sekadar pandangan.

Wallahualam.


-zeitgeist@nova


(respons ini telah diubahsuai bagi memperbetulkan kesilapan tatabahasa, konteks dan ejaan)

No comments: