Sunday, February 3, 2008

Nukilan untuk Serikandi

Serikandi,
Ku tulis kalam ini,
Buat buah fikiran semoga kau mengerti,
Akan apa yang tersirat di dalam hati,

Seorang Adam.

Serikandi,
Adam selalu terpikat,
Akan keindahan rupa parasmu,
Senyumanmu bak bulan purnama,
Memanah hati yang lara,
Ada kalanya panahan itu membuatkan hati luka,
Hingga ada yang gila,
Sanggup berbunuhan kerana cinta dusta.

Begitulah kaumku menggilaimu...

Serikandi,
Adam tidak mampu bertahan dengan pujuk rayumu,
Oleh itu kau simpanlah suara manismu untuk teman hidupmu,
Adam tidak punya perisai daripada panahan matamu,
Oleh itu kau rendahkanlah ia agar tidak terpanah hati yang tenteram,

Serikandi,
Adam sering merindui mu,
Kerana kau seorang yang lembut,
Mampu melunturkan hati yang keras,
Janganlah kelembutan mu hilang,
Demi semata-mata hendak mencabar kami Adam.

Serikandi,
Kau burulah cinta Ilahi lebih daripada cinta kami,
Senangnya ku berkata ku tahu,
Tetapi kau sepatutnya mengerti,
Cinta manusia bermusim,
Mekar bila bunga cinta cantik berputik,
Luruh bila ia hilang serinya.

Itulah hakikat kebanyakan kami kaum Adam...

Serikandi,
Perjalanan hidup ini tidak indah semuanya,
Kau harus faham dunia ini bukan syurga,
Kau impikan mahligai bahagia dan istana mega,
Tapi Adam tidak punya semua,
Cuma meminjam daripadaNya sepertimu jua.

Serikandi,
Dengarlah khabar ini,
Jika kau ingin memilih di antara kami,
Untuk bersamamu di dalam hidup ini,
Pilihlah yang dekat pada Ilahi,
Yang patuh akan seruan syarie,
Yang tahu akan erti dan budi,
Bukan soal timba mencari perigi,
Atau perigi mencari timba,
Tapi soal siapa yang terbaik buatmu.

Dalam pada itu pula janganlah kau pinta lebih dari itu,
Janganlah kau ukur kejayaan kami semata-mata pada kekayaan,
Jangan pula kau banggai kami kerana rupa paras yang menawan,
Jangan kau persoalkan tentang tampuk pemerintahan,
Jika kau lakukan maka semakin celarulah Adam.

Serikandi,
Kau pahlawan,
Kau mengerti erti pengorbanan,
Demi Tuhan,
Berjuanglah bersama-sama kami,

Sesungguhnya dikau rusukku,
Terasa lemah bila tulangku hilang,
Bernaunglah padaku,
Bernaunglah dengan aman.

Mohd. Shazani bin Masri

No comments: